Jumat, 13 Maret 2015

KISAH QORBAN DAN CINTA KEPADA ALLAH

Kisah 1: Nabi Adam

Korban dilaksanakan oleh anaknya, Qabil dan Habil. Menurut sejarah, kekayaan yang dimiliki Qabil mewakili kelompok golongan petani, sedangkan Habil mewakili kelompok penternak. Pada waktu itu, sudah mula ada perintah, sesiapa yang memiliki harta banyak, maka sebahagian hartanya hendaklah dikeluarkan untuk korban.Sebagai petani, Qabil mengeluarkan korban daripada hasil pertaniannya, dan sebagai penternak, Habil mengorbankan haiwan peliharaannya untuk korban. Qabil mengeluarkan korban yang afdal (terbaik), iaitu hasil ternakan yang sihat, manakala Habil sebaliknya. Hal itu diungkapkan dalam firman Allah yang bermaksud: “Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua-dua anak Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya, ketika mana kedua-duanya mempersembahkan ibadat korban, maka diterima daripada salah seorang dari mereka berdua (Habil), dan tidak diterima daripada yang lain (Qabil). Lalu ia berkata: Aku pasti membunuhnya (Habil).” (Surah al-Maidah, ayat 27) Ayat di atas, membuktikan korban Habil diterima di sisi Allah atas dasar niat yang ikhlas dan taat dalam menjalankan perintah Allah. Korban Qabil tidak diterima Allah, kerana mengandungi unsur tidak ikhlas dan taat. Akhirnya, terjadilah peristiwa dan tragedi pembunuhan ke atas Habil oleh tindakan dendam kesumat Qabil. Sejarawan dan ahli tafsir menyatakan, itulah pembunuhan pertama dilakukan di kalangan umat manusia sejak bumi didiami insan.
Kisah 2: Nabi Ibrahim.


Baginda bermimpi mendapat perintah daripada Allah supaya menyembelih anaknya Ismail. Di saat penyembelihan hendak dilaksanakan Nabi Ismail a.s. berkata kepada ayahnya: "Wahai ayah, saya ingin sampaikan beberapa permintaan kepada ayah. Hendaklah ayah mengikat tangan saya, supaya saya tidak meronta-ronta, yang akan menyulitkan ayah; hendaklah wajah saya dihadapkan ke tanah, supaya ayah tidak melihat wajah saya yang akan menimbulkan kasih sayang ayah kepada saya; hendaklah ayah melipatkan kain ayah, supaya tidak berlumuran darah sedikitpun, sehingga mengurangi pahala saya dan mungkin juga akan diketahui ibu, sehingga dia menjadi susah; hendaklah ayah mengasah pisau ayah, agar memper-cepatkan jalannya atas leher saya, supaya meringankan rasa sakit, kerana mati itu amat sakit sekali; hendaklah ayah membawa baju saya kepada ibu sebagai kenang-kenangan dan katakanlah kepadanya: 'Bersabarlah engkau terhadap perintah Allah', janganlah diberitahu kepadanya bagaimana cara ayah menyembelih saya dan bagaimana ayah mengikat tangan saya; hendaklah ayah tidak membawa anak-anak (seusia saya) ke rumah ibu, supaya rasa sedihnya tidak timbul kembali dan kalau ayah mengetahui anak yang sebaya saya, hendaklah ayah tidak melihatnya, sehingga ayah terkenang menjadi susah dan duka'

Maka kata Nabi Ibrahim a.s: "Sebaik-baik penolong, adalah engkau hai anakku, untuk melaksanakan perintah Allah Taala."Dan diletakkan pisaunya pada leher puteranya, maka dia mulai menyembelihnya dengan kuat sekali, akan tetapi dia tidak mampu melukai lehernya. Kemudian Nabi Ismail a.s berkata: "Wahai ayahku, lepaskanlah tali tangan dan kakiku, supaya Allah Taala tidak memandang saya sebagai orang yang terpaksa."

Maka Nabi Ibrahim pun menelentang kedua tangan Ismail dan kedua kakinya tanpa ikatan, serta memalingkan wajahnya ke arah tanah, lalu menetak pisaunya dengan sekuat tenaga. Pisau itu membalik serta tidak dapat melukai leher Ismail dengan izin Allah.  Kata Ismail a.s: "Wahai ayahku, kekuatanmu menjadi lemah, kerana masih ada rasa cintamu kepadaku, sehingga ayah tidak dapat menyembelih saya." Maka Nabi Ibrahim memukulkan pisau itu kepada batu, dan batu itu terputus dua. Kata Ibrahim a.s: "Hai pisau, engkau mampu membelah batu, tetapi kamu tidak dapat memotong daging?"

Pisau itu berkata dengan izin Allah: "Hai Ibrahim, engkau mengatakan: 'Potonglah!', sedangkan Allah berfirman: 'Jangan engkau potong', maka bagaimana boleh saya mentaati engkau sedangkan saya harus pula mender-hakai Tuhanmu?" Kemudian Allah berfirman:  Maksudnya: "Dan Kami (Allah) menyeru: Hai Ibrahim, sesungguhnya engkau telah membenarkan mimpi itu dan sesungguhnya Kami membalas orang-orang yang berbuat baik."Lalu Malaikat Jibril a.s telah datang membawa seekor kibas sebagai gantian Nabi Allah Ismail a.s.


Keikhlasan dan ketaatannya diberi imbalan oleh Allah, iaitu menyelamatkan Ismail dan menggantikannya dengan seekor kibas. Peristiwa korban itu memberikan teladan, untuk meraih kemuliaan pastilah dilalui dengan pengorbanan. Berjuang untuk mencapai kemuliaan, ternyata mesti ditempuh dengan berkorban. Orang yang menyatakan dirinya berjuang, tanpa ada kemahuan untuk berkorban, sesungguhnya bukanlah pejuang melainkan pengikut. Jika ingin maju dan mulia, pasti ada gerakan yang dipeloporinya untuk berjuang sekali gus berkorban, iaitu mendekatkan diri kepada Allah. Justeru kisah pengorbanan yang klasik ini diabadikan di dalam Al-Qur’an dan juga di dalam Doa Iftitah yang kita ucapkan dalam solat kita sempena doa Nabi Ibrahim: “Sesungguhnya solatku, dan ibadahku, hidupku, dan matiku, hanya untuk-Mu Ya Rabbi!” 
Kisah 3:  Nabi Muhammad SAW.


Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan akhirat). Oleh itu, maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang membenci engkau, dialah yang terputus (daripada mendapat perkara yang diingininya).” (Surah al-Kauthar, ayat 1-3) 

Perbuatan Rasulullah S.A.W seperti yang dijelaskan dalam sebuah hadis riwayat Imam Ahmad, Ibnu Majah, Abu Daud dan lain-lainnya menyatakan bahawa setiap Hari Raya Adha, Rasulullah S.A.W menyembelih dua ekor kambing yang gemuk, bertanduk dan berbulu putih bersih. Baginda mengimami sembahyang dan berkhutbah, sesudah itu baginda memegang kambing berkenaan dan bersedia untuk menyembelih, lalu berdoa:

"Ya Allah, terimalah ini dari Muhammad dan ahli keluarga Muhammad."

Kemudian baginda menyembelihnya. Sesudah itu baginda membaringkan kambing yang lagi satu dan berdoa:

"Ya Allah, terimalah ini daripada Muhammad dan umatku".

Sebahagian dagingnya dimakan oleh baginda dan keluarganya, dan sebahagian yang lain dibahagi-bahagikan kepada fakir miskin.


Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

"Maka makanlah kamu akan daging binatang korban itu dan berilah makan kepada orang susah, yang fakir miskin."
-Surah Al-Haj:Ayat 28





Pembahagian daging korban mengandungi makna sebagai cara untuk mendekatkan hubungan antara orang kaya dan miskin, antara orang berada dengan orang yang serba kekurangan. Malah ibadah korban adalah wahana penghubung yang dilandaskan rasa kemanusiaan, sehingga boleh menimbulkan rasa kasih dan simpati sesama manusia. Maka inilah ibadah yang menggambarkan syariat Islam, di mana manusia dapat mendekati Allah S.W.T atau "bertaqarrub" kepadanya apabila hamba berkenaan mendekati saudara-saudaranya yang berada dalam kesusahan.
Mereka yang akan menjalankan ibadah korban, disunatkan bagi mereka agar menyembelih binatang korban mereka itu sendiri. Jika tidak mampu maka saksikanlah upacara korban itu sendiri. Lihatlah upacara korban itu apabila darah pertama mula mengalir ke bumi, kerana ketika itulah Allah s.w.t mengampuni dosa-dosa yang telah lalu dari orang yang melakukan korban itu. Rasulullah s.a.w telah menyuruh puterinya Fatimah r.a untuk menyaksikan ibadah korban yang dijalankan atas namanya. Sabda beliau:

قُوْمِيْ إِلَى أَضْحِيَتِكِ فَاشْهَدِيْهَا فَإِنَّهُ بِأَوَّلِ قَطْرَةٍ مِنْ دَمِهَا يُغْفَرُ لَكِ مَا سَلَفَ مِنْ ذُنُوْبِكِ . 

Ertinya:  Bangunlah dan pergilah menyaksikan ibadah korban kamu kerana sesungguhnya pada titisan pertama darah yang mengalir akan diampunkan dosa kamu yang lepas. 
Maka kita disunatkan agar menyaksikan ibadah korban kita itu dan berdoalah kepada Allah: 'Ya Allah! Ini adalah dari Engkau dan untuk Engkau maka terimalahnya dari kami.' Semoga ibadah korban kita ini diterima Allah s.w.t, amin. 
Paling penting keikhlasan dan ketaatan menunaikan perintah Allah. Allah menguji iman, seperti menguji keimanan Nabi Ibrahim dengan memerintahkan menyembelih Ismail. Allah tidak memerlukan darah dan dagingnya. Allah sekadar menguji keimanan Ibrahim dengan perintah dan ujian yang sangat berat itu. Syariat dan ibadat korban terus berlaku hari ini hingga kiamat. Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada daging dan darah haiwan dikorbankan itu. Yang dilihat Allah adalah niat ikhlas dan taat yang ada pada diri orang yang berkorban. Allah berfirman yang bermaksud: “Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai keredaan Allah, tetapi ketakwaan daripada kamulah yang dapat mencapainya.” (Surah al-Hajj, ayat 37)
 

Tidak ada komentar:

Posting Komentar